118 bakal jemaah haji Kementerian Pertahanan terima sumbangan





Oleh : Saerah Haji Abdul Ghani / Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid





BERAKAS, Khamis, 30 April. - Kementerian Pertahanan petang tadi mengadakan Majlis Jiwa Murni bagi bakal-bakal jemaah haji Kementerian Pertahanan bagi musim 1447 Hijrah / 2026 Masihi berlangsung di Dewan Pahlawan, Berakas Garison.


Majlis berkenaan merupakan penyampaian sumbangan kepada 118 bakal jemaah haji.


Pada tahun ini, kumpulan bakal jemaah haji terdiri daripada 55 warga Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) berserta 42 pasangan, serta 14 kakitangan awam berserta tujuh pasangan.


Hadir bagi menyempurnakan penyampaian sumbangan kepada bakal jemaah haji lelaki, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof.


Manakala, sumbangan kepada bakal jemaah haji wanita pula disampaikan oleh isteri Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II, iaitu Datin Hajah Kalshom binti Haji Suhaili.


Turut menyampaikan sumbangan ialah Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan dan Datin; Setiausaha Tetap di Kementerian Pertahanan, Brigedier Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Haji Alirupendi bin Haji Perudin dan Datin; serta Timbalan Pemerintah ABDB, Brigedier Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Mohammad Sharif bin Dato Paduka Haji Ibrahim dan Datin.


Terdahulu majlis dimulakan dengan bacaan Surah Yaa Siin yang dipimpin bersama oleh Pemangku Pengarah Jabatanarah Agama ABDB (JAMA'AT), Mejar Narulismandy @ Anwar Hadi bin Haji Samah; dan Imam Surau Ad-Difa', Awang Mohamad Khairul Azmi bin Haji Salleh.


Majlis berkenaan turut diserikan dengan tazkirah bertajuk 'Perjalanan Menuju Keampunan : Peluang Sekali Seumur Hidup' yang disampaikan oleh Pegawai Ugama dari JAMA'AT, Awang Mohammad Rif'at Atiyah bin Anwari.


Bagi memohon keberkatan bagi perjalanan bakal jemaah haji ke Tanah Suci, majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat bagi memohon perlindungan daripada Allah Subhanahu Wata'ala, agar segala urusan bakal jemaah haji dipermudahkan serta dikurniakan perlindungan dan memperoleh haji yang mabrur.


Close